Menu

Mode Gelap

Sosial Budaya · 29 Apr 2022 20:04 WIB

Tujuh Likur


					Ilustrasi lampu colok di malam tujuh likur. Foto: Disbud Kepri Perbesar

Ilustrasi lampu colok di malam tujuh likur. Foto: Disbud Kepri

Likur yang hamba cakapkan nanti bukanlah nama ikan yang Selikur itu, ianya sebangsa perayaan khalayak orang-orang melayu jaman tandun dalam menjemput malam dua puluh satu puasa.

Petang sebelum malam selikur itu disyahdankan orang-orang sentiasa mena’ah tempayan beras, dituangkan isinya, ditampi ulang beras-beras itu barulah kemudian dimasukkan kembali adanya.

ADVERTISEMENT

Begitu jualah dengan nasib tempayan air, baik itu tempayan minum atawa tempayan bawah tingkap untuk tetamu menbasuh kaki. Kepada tetempayan itu tiadalah dipedulikan isinya, baik tempayan beras yang isinya entah secanting atawa segantang maupun tempayan air yang isinya secupak atawa segayung.

Fi awwalu, dikhabarkanlah pula adanya malam selikur itu adalah malam turunnya malaikat pemberi rezeki, tiada hendak suah malaikat itu mencucurkan rezekinya jika segala nampan dan atawa tempayan terbengkalai. Konon, malam selikur itu wajiblah adanya diletakkan sebarang pelita atawa colok lanting yang menyala diatasnya, cukup sebiji dua sahaja, agar para malaikat itu bisa tertampak dengan tempayan sehinggakan mudah untuknya mencurah segala rezeki.

Esoknya pula adalah malam dua likur, lanting dan pelita harus ditambah jumlah banyaknya, malam itu adalah malam kedatangan para arwah tok noyang kita-kita balik ke asal pulang. Sedih dan menggerunlah hatinya jika didapati malam itu tiada sebarang sanak saudaranya menyalakan lanting atawa colok pelita, maka dikhabarkan pula patah baliklah dia ke liang kubur untuk menangis menyedu-nyedan hingga ke subuh.

Sementara lainlah pula malam empat likur atau sama dengan malam 24 puasa, bukan perayaan yang seahad lagi lebaran tapi malam pengunjungan sebangsa bebunian ke rumah-rumah. Bebunian yang datang itu hanya sekadar bertamu barang sejenak, celakalah kita-kita yang pada malam empat likur itu tiada memasang colok pelita, dikhabarkan pula akan mendapat bala’ celaka serupa sesakitan atawa sawan bahang hinggakan tiadalah bisa kita-kita untuk meraikan lebaran kelak nantinya.

ADVERTISEMENT

Malam lima likur lainlah pula, pada malam itu adalah waktunya bagi malaikat karaman dan katibin di kiri kanan bahu kita-kita ini untuk menyelesaikan catatan kitabnya, jika gelap tanpa adanya colok pelita habislah kita-kita, tiada bisa malaikat itu menyeka selaksa dosa yang sudah kita-kita buat. Kalau terang dengan colok pelita maka selamatlah, dapatlah karaman dan katibin celik untuk menghapus cacat cela kita-kita yang pernah buat dosa.

Malam enam likur mulai ramai colok pelita, bukan sebijik dua sahaja, melainkan mulai beratus atawa beribu banyaknya. Kampung-kampung mulai mereka-reka colok pelita itu dengan berbagai model gerbang atawa gapura. Disusun sedemikian rupa digorak-gorakkan nyalanya tiada peduli dengan harga minyak tanah yang 25 ribu itu sebotolnya.

Asbabnya pada malam enam likur itu dikhabarkan turunlah sebangsa malaikat Lailatur Qadar untuk meneroka mana-mana yang patut mendapatkan rahmat Ilallah. Asbab, jika ada sebangsa kampung yang tiada riuh menyala-nyala dengan lampu lanting atawa colok pelita maka kempunanlah selaksa penghuni kampung itu untuk menerima malam Lailatul Qadar.

ADVERTISEMENT

Tiga hari nak masuk lebaran atawa malam 27 puasa itulah malam punca meraikan likur, sebutnya dengan tujuh likur. Kita-kita yang tinggal di kampung-kampung tiada suah menutupkan pintu rumah atawa tingkap sekalian adanya, semalam suntuk hinggakan pagi pintu dan tingkap itu dibiarkan terngaga dan terpelahau. Sebangsa kita-kita yang alim ulama itu selepas tarawih mulai berkunjung dari rumah-kerumah semerata kampung, untuk membacakan doa dan mengaji barang se-juz–dua-juz.

Yoan S Nugraha

Begitulah berketerusan hinggakan masuk waktu sahur dan berhenti ketika muazin berazan. Selaksa kita-kita ahlil bait rumah terpekik-pekau menyeru-rayau alim ulama itu untuk menjemput datang kerumahnya, asbab malam itulah kedatangan Lailatul Qadar. Malaikat mulai menilik-nilik tentang mana-mana rumah yang khusyuk berdoa maka mendapatilah rahmatnya. Para kita-kita yang alim ulama itupun senang lenang berduyun-duyun datang, sajian tambul pengananpun aneka rupa, ada yang sekadar jemput-jemput pisang serenta air teh panas, hingga berhidang-hidang tambul dengan sajian kari ayam atawa gulai pelanduk dengan sirup kulit secang yang merah padam.

ADVERTISEMENT

Itulah kata emak hamba yang Mahebat itu, umurnya yang 60 tahun lebih sentiasa berhikayat kepada hamba saban tahun, sekarangpun masih berhikayat dengan makzul serupa kepada cucu dan cicitnya saban malam sebelum tidur atawa saban petang menunggu buka puasa. Peliknya, baik hamba atawa cucu cicit emak hamba Yang Mahebat itupun tiada jelak-jelak menikmati hikayat tujuh likur itu, asbabnya meski hingga setakat ini kita-kita yang tinggal di Dabosingkep hingga ke Daik Lingga wabil khusus kempung Berindat, Persing, Sedamai, Lanjot, Kute, Raye, Bukit Kapitan, Setajam, Sekop laut, Kampung Boyan, Dabo Lama dan sebangsanya, masihkan menyalakan colok pelita yang bersumbu minyak tanah atawa lampu setrum dengan kabel menjela-jela, tapi hanya sebatas kulit belaka dengan alasan serupa “sudah tradisi” yang diturunkan dari bapaknya punya atok hingga ke mamaknya punya nenek, begitulah berketerusan hingga mulai lena dan terlupa dengan hikayat tujuh likur itu adanya.

Meski dulu sudahpun sempat difatwakan oleh Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz seorang ulama di negara Jiran Malaysia sana bahwa meraikah tujuh likur adalah bid’ah, tiada pun jua dipedulikan orang-orang. Entah kerana fatwa itu tiada sampai di minda mereka atawa semenagnya tiada tahu, entahlah. Yang jelas kita-kita di kampung-kampung Dabosingkep dan serenta dengan Daik Lingga berketerusan meraikan tujuh likur itu adanya. Bahkan imam masjid-masjid pun jua adanya bersukarela menjadi ketua panita yang berkaki tangankan dengan remaja masjid yang ada.

Tak ada yang mengamuk pasal selangitnya harga minyak tanah, tak ada yang merepet meraban pasal PLN yang main-main dengan stop kontak, atau yang masih khusuk bualkan perihal laut Cina Selatan dibandingkan dengan penyebutan laut Utara Natuna, semua khalayak sentiasa bersuka ria meraikannya.

ADVERTISEMENT

Budak-budak setinggi pinggang mencicit lari sambil menyaok bunga api, serenta jua adanya dengan budak-budak setinggi dada tepekik-pekau meletupkan mercun, sementara yang sebesar kita-kita ini mengakak dengan meriam karbit. Begitu herohnya padahal banyak yang terlupa bahwa kejap lagi lebaran, adakah yang sudah siapkan duit baru untuk sanak keluarga?- selamat raye wai.

Gabung dan ikuti kami di :

Penulis: | Editor: Redaksi



whatsapp facebook copas link

ADVERTISEMENT
advertisement BP 2
Baca Lainnya

Alex Guspeneldi dan Muhammad Alfian Salurkan 1.450 Paket Sembako di Sagulung

3 Oktober 2023 - 18:37 WIB

20231003 144348 11zon

Sambut Hari Batik Nasional, Guru SD 02 Batu Aji Kenakan Beragam Motif Batik

2 Oktober 2023 - 12:33 WIB

IMG 20231002 WA0005 11zon

Maknai HUT ke-78 TNI, Lanal TBK Gelar Baksos Layanan Kesehatan dan Bagikan Sembako

25 September 2023 - 08:51 WIB

IMG 20230925 WA0004 11zon

Masyarakat Antusias Manfaatkan Rumah Singgah Batam dan Jakarta, Daftar Tunggu Capai Ratusan

20 September 2023 - 17:00 WIB

Rumah singgah Kepri di Batam

PT Timah Tbk Tanam 1.000 Magrove Bersama Masyarakat dan Nelayan di Sawang Laut

14 September 2023 - 15:06 WIB

IMG 20230914 145354 11zon

8 Pasangan Ikuti Nikah Massal di Tanjungpinang

13 September 2023 - 18:38 WIB

IMG 20230913 WA0005 01 11zon
Trending di Sosial Budaya